Siapa yang pernah merasakan tahulah betapa peritnya. Benarlah kata
pujangga,"sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang, tetapi
tidak berbalas." Aneh sekali derita sakit putus cinta ini... benci, tapi
rindu. Dendam tapi sayang. Dunia terasa sempit, dada terasa mencengkam.
Orang yang paling boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang pernah
paling kita cintai. Ramai orang yang hancur hidupnya kerana putus
cinta. Terlupakah pesan bijak pandai:
"Cintailah sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi
kebencianmu pada suatu ketika, bencilah yang engkau benci itu sekadar
saja, berkemungkinan ia akan menjadi kecintaanmu pada satu ketika."
Sesetengahnya hilang kewarasan berfikir. Hilang semangat juang. Malah
ada yang sanggup bunuh diri.
Benarlah kata orang: "Dunia akan terkejut
mendengar seseorang membunuh diri kerana kematian ibunya, tetapi tidak
akan terkejut apabila pembunuhan diri itu disebabkan kematian kekasih
yang dicintainya."Justeru, yang minta mati, akibat frust cinta ramai
sekali.
(Ingat senikata lagu: Oh, Tuhanku kau cabutlah nyawaku). Buruk sekali
keadaan orang yang 'frust' dalam bercinta. Inilah salah satu akibat
cinta nafsu. Jika kita berani 'memperkosa' kesucian cinta, awas ia akan
menuntut balas dengan cara yang paling kejam.
Ketahuilah, seseorang pernah gagal dalam percintaan, kemungkinan dia
akan terus melihat kebahagiaan itu laksana pelangi. Tidak pernah di
kepalanya sendiri, selamanya di atas kepala orang lain. Pesimis.
Prejudis. Bagaimana hendak dihadapi segalanya?
Putus cinta adalah bukti bahawa tidak ada cinta sejati kecuali cinta
yang diasaskan oleh cinta Allah. Cubalah anda fikirkan, apakah punca
pihak sana atau pihak sini memutuskan cintanya? Mungkin kerana hadirnya
orang ketiga? Mungkin dihalang oleh orang tua? Mungkin kerana sudah
jemu? Macam-macam alasan diberikan. Ketika itu lupa segala sumpah setia,
akujanji, lafaz janji yang dimetrai sewaktu sedang 'syok' bercinta.
Hingga dengan itu mereka yang dikecewakan seolah-olah tidak pernah
mengenal orang yang dicintai itu. Dia benar-benar berbeza (seolah-olah
dia tidak pernah kita kenali!).
Putus cinta bukanlah pengakhiran segalanya. Ia adalah satu permulaan
yang baik jika ditangani dengan positif. Memanglah di awalnya kita rasa
sukar menerima hakikat. Tetapi percayalah... kita tetap ada Allah.
Semuanya dari Allah. Dan segala yang datang dari Allah ada baik belaka,
walaupun belum terserlah kebaikannya pada pandangan kita. Namun
yakinlah, pandangan kita terbatas, pandangan Allah Maha Luas. Sesuatu
yang kita cintai, belum tentu membawa kebaikan kepada kita. Manakala
sesuatu yang kita benci, belum tentu memudaratkan kita.
Sebagai hamba Allah, renungilah maksud firman Allah dalam surah Al
Baqarah, " Ada sesuatu perkara yang kamu cintai tetapi itu membawa
keburukan kepada kamu. Ada pula sesuatu perkara yang kamu benci tetapi
sebaliknya ia membawa kebaikan kepada kamu. Sedarlah kamu tidak
mengetahui, Allah-lah yang lebih mengetahui."
Kita inginkan orang yang kita cintai itu terus setia bersama kita.
Biar sampai menempuh alam perkahwinan, beranak cucu hingga ke akhir
hayat. Segala kata pengukuhan telah diberikan.
Kita rasa dialah terbaik untuk kita (you are the answer of my
prayer). Tetapi entah macam mana, dia berpaling tadah. Waktu itu kita
terhenyak lalu berkata, "mengapa aku terpaksa menanggung derita
ini."Kita frust kerana merasakan dialah yang terbaik, tercantik, ter...
ter... segala-galanya. Sukar membayangkan ada orang lain seumpama dia.
Cinta diberikan seluruhnya. Ketika si dia pergi tanpa berpaling, kita
berkata, "ya Tuhan, kenapa aku yang terpaksa menerima nasib ini?"
Harga diri orang yang putus cinta selalu rendah. Penilaian diri
terhadap dirinya sendiri menjunam ke paras terendah. Rasa hina (gagak di
rimba) berbanding kekasihnya yang pergi (merak kayangan). Sedangkan
jika masih ada iman bersemi di dada... kita masih boleh berfikir dan
berhenti seketika, lalu berkata, "Tuhan ada!" Pujuklah hati dengan apa
yang telah Allah tegaskan bahawa yang baik pada pandangan kita belum
tentu baik dalam realitinya. Katakan, dia yang pergi itu bukan yang
terbaik. Mungkin dia terbaik, tapi untuk orang lain.
Dan yang terbaik
untuk kita pasti datang sebagai gantinya!
Jangan katakan kenapa aku yang kena? Jangan labelkan aku yang malang.
Tetapi katakan, aku yang terpilih. Terpilih untuk putus cinta dengan
manusia supaya 'terpaksa' bercinta dengan Allah. Memang begitulah rahmat
Tuhan, kekadang DIA memutuskan untuk menyambungkan. Putus cinta dengan
manusia, tersambung cinta dengan Allah. Inilah hikmah di sebalik
kesusahan, kemiskinan, kegagalan, dan termasuklah putus dalam bercinta.
Dalam ujian kesusahan selalunya manusia lebih mudah ingatkan Allah.
Alangkah indahnya jika orang yang frust cinta itu kembali kepada
Allah secara sihat – maksudnya, bukan sekadar merintih, mengadu, merayu
atau minta mati segera. Tetapi tersentak oleh satu kesedaran bahawa
cinta Allah itulah yang sejati.
Allah tidak pernah mengecewakan seperti kekasih mengecewakan. Seorang
filosof Barat, Hendrick berkata, "mencintai seorang yang tidak
mencintai kamu adalah sia-sia, menyia-nyiakan orang yang mencintai
adalah berbahaya." Cubalah fikirkan... siapa yang paling mencintai kita?
Siapakah yang kita sia-siakan selama ini?
Fikir...
Dan tersentak oleh hakikat itu, kita mula berfikir... barangkali
putus cinta ini adalah rahmat yang tersirat, "Allah menjemput aku untuk
mencintai-Nya!" Sedarlah, bahawa Allah adalah Tuhan yang sentiasa
mengasihi kita. Tetapi DIAlah Tuhan yang sering kita sia-siakan. Frust
cinta itu hakikatnya untuk menyambungkan cinta kepada-Nya. Ketika itulah
orang yang frust cinta akan benar-benar terasa bahawa dia terpilih,
bukan tersisih!
Saya punya banyak cerita betapa ramai pasangan suami-isteri yang
bahagia bersama 'orang' yang mereka tidak sangka apalagi harapkan
sebelumnya. "Rugi, buang masa mengenang kekasih dulu." "Allah ganti yang
lebih baik." "Tak sangka, kami akan serasi begini." Begitulah
suara-suara 'testimonial' daripada orang yang frust bercinta tetapi
akhirnya berjaya melalui kehidupan berumah-tangga dengan orang yang
lebih baik (untuk mereka).
Ya, pada waktu 'terkena' dulu belum nampak lagi, sebab itu terasa
marah, kecewa, dendam dan benci. Tetapi apabila masa berlalu, segalanya
bertukar menjadi syukur, beruntung dan terselamat. Mujur putus dengan
dia. Beruntung tidak jadi dengan dia!
Begitulah ilmu kita yang terbatas dibandingkan dengan ilmu Allah yang
Maha Luas. Yang penting dalam apa jua keadaan sekalipun, iman mesti
diperkukuhkan dalam dada. Ingat Tuhan. Cintailah DIA, pasti Allah akan
mendorong orang yang dicintai-Nya untuk mencintai kita. Cinta itu bagai
'mata rantai' yang sambung menyambung sesama manusia yang akhirnya
bersambung kepada cinta Allah.
Percayalah frust dalam bercinta itu satu ujian. Ujian dalam
kehidupan. Ingatlah bahawa alam adalah sebuah 'sekolah' yang besar.
Setiap manusia adalah para pelajarnya. Dan kita terpaksa belajar
berterusan. Hidup adalah satu siri pelajaran yang tersusun rapi untuk
difahami dan dihayati sepanjang hayat.
Frust dalam cinta jika ditakdirkan berlaku kepada anda, adalah satu
pelajaran juga. Kita perlu faham 'pelajaran' yang dibawa bersamanya.
Jika difahami, pelajaran-pelajaran ini akan memberi panduan dan suluhan
untuk menjalani hidup dengan lebih tenang dan bahagia pada masa akan
datang. Tetapi sekiranya pelajaran ini gagal difahami, maka hidup akan
huru-hara dan kita akan selalu menghadapi keadaan yang tidak menentu.
Kemungkinan besar kita akan 'frust' berkali-kali.
Semasa kita di peringkat remaja ada 'pelajaran-pelajaran' tertentu
yang perlu difahami benar-benar sebelum menghadapi usia dewasa yang jauh
lebih mencabar. Apakah 'pelajaran-pelajaran' itu dan apakah cara
sebaik-baiknya mempelajarinya? Inilah salah satu persoalan penting yang
mesti dijawab oleh setiap remaja. Jangan sampai pelajaran yang
sepatutnya 'selesai' di alam remaja terpaksa dibawa ke peringkat tinggi.
Kalau begitu rugilah, sama seperti siswa atau siswi yang terpaksa
'refer' atau 'repeat' akibat gagal dalam peperiksaan mereka.
Remaja adalah kelompok manusia yang sedang melalui satu proses
transisi. Mereka telah meninggalkan alam kanak-kanak tetapi belum
mencapai alam dewasa sepenuhnya. (I'm not a girl but not yet a women)
Keadaan transisi ini tidak stabil. Umpama air yang hendak bertukar
menjadi wap, maka molekul-molekulnya terlebih dahulu bergerak dengan
cepat dan tidak menentu.
Samalah dengan remaja, jiwa, akal, nafsu, emosi dan lain-lain
elemen-elemen mereka sedang bergolak. Takah usia ini paling tidak stabil
– tercari-cari identiti diri, krisis pemikiran, perubahan biologi dan
macam-macam lagi. Dan di tahap ini juga remaja akan menemui pelbagai
situasi dan kondisi – suka dan duka, kejayaan dan kegagalan, permusuhan
dan kasih-sayang, sempadan dan teladan. Muncul pelbagai individu dengan
pelbagai kelakuan dan sikap. Terjadi bermacam-macam peristiwa dengan
membawa pelbagai kesan. Salah satunya frust dalam bercinta.
Semua ini tidak berlaku sia-sia melainkan ada 'pelajaran' yang
dibawanya untuk difahami dan dihayati. Remaja mesti dapat membaca
'mesej' yang dibawa oleh setiap peristiwa, individu dan keadaan yang
berlaku ke atas mereka. Jika tidak, mereka terpaksa mengulangi pelajaran
itu berkali-kali. Sebab itu kita pernah temui orang tertentu yang
sentiasa berdepan dengan masalah yang sama berulang-ulangkali.
Jadi langkah pertama supaya remaja'lulus' dalam pelajaran mereka
ialah mereka perlu akur bahawa setiap yang berlaku di alam remaja ada
unsur pengajaran dan didikan buat mereka. Frust cinta hakikatnya adalah
'guru' yang mengajar kita. Setiap guru mengajar sesuatu yang baik,
walaupun kadangkala pahit, pedih dan sakit kita menerimanya.
Untuk itu, apabila putus cinta, hendaklah ditanyakan pada diri,
"apakah pelajaran yang disebalik semua itu." Pandanglah semua yang
berlaku ke atas kita ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita
sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup
ialah 'mehnah' – maksudnya didikan terus dari Allah.
Mereka berpendapat bahawa apa sahaja yang berlaku dalam hidup adalah
ujian dan ujian itu hakikatnya adalah didikan terus daripada Tuhan. Ahli
sufi menambah lagi bahawa jika manusia tidak mampu dididik melalui
didikan terus dari Allah (mehanah) maka manusia tersebut tidak akan
dapat dididik lagi oleh sebarang manusia lain. Inilah yang ditegaskan
oleh Ibnu Attoillah, seorang sufi yang terkenal dalam buku-buku
karangannya.
Jika seorang datang membuat kita kecewa, maka dia adalah 'guru' yang
hendak mengajar kita erti sabar. Jika kita rasa kita sedang dikecewakan,
itu menunjukkan kita sedang belajar untuk membina sikap tidak terlalu
mengharap. Begitulah seterusnya dalam apa jua situasi dan masa, kita
hakikatnya sedang belajar dan dididik.
Memang pada lahirnya, manusia, peristiwa dan kejadian yang sedang
bertindak ke atas kita tetapi sedarilah hakikatnya semua itu adalah
datang dari Allah. Semuanya berlaku dengan izin Tuhan, yang dengan itu
DIA hendak mendidik kita. Maka terimalah didikan itu dengan baik.
Apakah sebenarnya yang menjadi 'tujuan' di sebalik
pelajaran-perlajaran yang datang dalam hidup kita? Tujuan utamanya ialah
untuk mengubah kita. Perubahan tidak dapat dielakkan justeru hidup
adalah satu proses perubahan yang berterusan. Yang tidak berubah dalam
hidup adalah perubahan itu sendiri. Perubahan sentiasa berlaku dan ia
diluar kawalan kita. Kita tidak dapat mengawal hati 'kekasih hati' agar
dia sentiasa setia.
Apa yang boleh kita ubah ialah diri kita sendiri. Jadi, berubahlah
mengikut haluan dan kawalan kita sendiri. Jangan izinkan orang lain
hatta kekasih kita mengawal hidup kita. Sehubungan itu, bijak pandai
pernah berkata,"we cannot direct the wind but we can adjust our sail."
Ertinya, walaupun kita tidak boleh menentukan takdir yang menimpa
tetapi kita diberi kuasa oleh-Nya untuk mentadbir diri kita.
Malangnya, ramai manusia yang ingin memegang takdirnya sendiri. Dia
seolah-olah ingin jadi 'Tuhan". Dia ingin semua keinginannya tercapai.
Mustahil, manusia hakikatnya lemah. Dia tidak boleh mengawal hati
kekasihnya. Dia tidak boleh memastikan kesetiaan kekasihnya. Ingat,
mencintai seseorang bukanlah bererti mengatur segala langkah dan
perbuatannya demi cinta. Kita tak akan mampu!
Ringkasnya, ujian hidup datang dengan pelajaran, dan pelajaran itu
datang bersama tuntutan perubahan. Jika sudah berkali-kali pelajaran
disampaikan, tetapi masih tidak ada perubahan, maka itu bermakna remaja
gagal dalam 'sekolah' kehidupan mereka. Frust cinta, hakikatnya adalah
ujian yang ingin merubah kita untuk mula mencintai Allah.
Ingat, setiap kali sesuatu menimpa anda, samada baik atau buruk. Itu
adalah pelajaran yang menuntut perubahan. Maka ubahlah diri kita selalu,
ke arah yang baik, lebih baik dan cemerlang. Setiap detik, setiap
ketika, ada sahaja peristiwa yang akan anda hadapi... maka belajarlah
secara berterusan, dan berubahlah secara berterusan... Nanti anda akan
mencapai kebaikan secara berterusan pula. Jangan sekali-kali
menangguhkan pelajaran, nanti anda akan menangguhkan perubahan dan
akhirnya menangguhkan datangnya kebaikan.
Belajarlah dari sekolah kehidupan semasa remaja lagi, supaya anda
tidak diburu penyesalan apabila mencapai usia tua. Kata pepatah,
"belajar sewaktu muda bagai melukis di atas batu, belajar sewaktu tua
bagai melukis di atas air." Teringat kata Dale Carnargie dalam
bukunya Stop Worrying and start living, "jangan gergaji abuk kayu!" Dan
itulah nasib orang tua yang tidak belajar semasa mudanya!
Kita perlu sedar, hidup ini bagaikan satu siri gelombang yang datang
secara bergilir-gilir. Ada ketikanya, gelombang kecil dan tenang dan ada
ketikanya gelombang itu besar dan ganas. Pada ketika gelombang itu
ganaslah, semuanya terasa serba tidak kena. Tuhan menetapkan bahawa
setiap manusia itu tidak akan mendapat kesenangan sahaja atau kesusahan
sahaja.
Masing-masing daripada kita akan mengalami pasang-surut dalam hidup –
ada masa senang, ada masa susah. Justeru dalam kehidupan ini, kita
tidak boleh terlalu gembira kerana selepas kegembiraan itu mungkin
muncul kesusahan. Begitu juga kita tidak boleh terlalu sedih bila
kesusahan kerana mungkin selepas itu Allah swt datangkan perkara-perkara
yang menggembirakan.
Kesedaran tentang hukum Sunnahtullah ini akan memberi ketenangan
dalam hidup. Apabila kita ditimpa kesusahan, rasakan dalam hati... ya,
selepas ini akan datang kesenangan. Sabarlah sebentar. Dan apabila
datang kesenangan, kita tetap tidak alpa... ya, selepas ini akan datang
kesusahan. Bersiap-sedialah. Hakikatnya, tidak ada kesenangan dan
kesusahan yang abadi di dunia ini. Kehidupan adalah satu pergiliran
antara senang dan susah yang berterusan...
Cabaran kita bukan untuk mengawal perubahan 'cuaca' kehidupan itu
tetapi mengubah diri bagi menyesuaikan diri dalam setiap keadaan yang
berubah-ubah itu. Fahamilah hakikat ini. Apabila kita frust dalam
bercinta terimalah bahawa itu adalah hakikat hidup. Hidup bukanlah yang
serba kena, serba senang dan serba mudah. Hidup tidak selalu indah,
kerana di situlah keindahan hidup!
Sematkan di hati kata pujangga ini:"Sesungguhnya orang yang
berkali-kali gagal bercinta, pada suatu saat akan bertemu jua...cinta
sejati yang ditunggunya!"